
KUALA   LUMPUR 9 JAN : Media arus perdana berbahasa Melayu dibidas kerana  hanya  pandai membuat fitnah terhadap Pakatan Rakyat tetapi takut untuk   mendedahkan kebenaran khususnya melibatkan kepentingan orang Melayu.
Memetik  laporan portal  Harakah Daily , Ahli Parlimen Bukit Bendera  Liew Chin  Tong berkata,  sebagai bukti terbaru apabila Persatuan Kontraktor Melayu  Malaysia  (PKMM) Pulau Pinang meminta maaf kepada Ketua Menteri Pulau  Pinang, Lim  Guan Eng, Utusan Malaysia diam membisu.
Ini,  katanya menunjukkan  Utusan yang hanya pandai membuat fitnah dan  pembohongan terhadap Lim  Guan Eng, DAP serta Pakatan Rakyat tidak  berani untuk menyiarkan berita  yang benar.
Tambahnya,  sikap bacul  sedemikian sudah sepatutnya menyedarkan rakyat betapa  buruk agenda  politik perkauman yang dibawakan oleh Utusan serta  pihak-pihak tertentu  dalam Umno yang hanya mahu orang Melayu ditutup  mata daripada melihat  kebenaran.
Sebelum  ini, ujarnya  apabila Pengerusi PKMMPP, Datuk Mohamed Fadzill Hassan  menyerang Lim  serta pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau  Pinang, Utusan  telah menjadi jaguh untuk menyebarkan tohamahan-tohmahan  yang tidak  berasas itu.
Kelmarin,  apabila Mohamed  Fadzill akhirnya bertemu muka dengan Lim, beliau telah  telah memohon  maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu atas  serangan-serangannya  terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.
Dalam  satu sidang akhbar  di pejabatnya di Komtar, Georgetown, Lim menyatakan  bahawa Mohamed  Fadzil telah meminta maaf dan ingin membuka lembaran  baru dengan  kerajaan negeri bagi membolehkan kontraktor-kontraktor  Melayu  bekerjasama dengan pentadbiran negeri Pulau Pinang.
"Lim  yang menerima baik  permohonan maaf itu telah berkata bahawa kerajaan  negeri mahu menjalin  hubungan sihat dan tersusun berdasarkan kepada  fakta dan bukan mengikut  perasaan serta tidak dipesongkan oleh fitnah  pihak-pihak tertentu  seperti Utusan," ujarnya dalam satu kenyataan,  semalam.
Menurutnya,  Kerajaan  Negeri Pulau Pinang telah mendedahkan kepada umum bahawa   kontraktor-kontraktor Melayu di negeri itu telah mendapat lebih banyak   projek di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding era pemerintahan   Umno dan Barisan Nasional.
Beliau  mengambil contoh  tender Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tahun 2008  hingga 2010  menunjukkan bahawa kontraktor Melayu menerima kesemua 18  projek bernilai  lebih RM40 juta.
Tender  Jabatan Kerja Raya  pula menyaksikan daripada 17 projek bernilai lebih  RM20 juta diluluskan  di antara 1 Januari 2008 dan 30 November 2010, 16  diberikan kepada  kontraktor Melayu, hanya satu projek diberikan kepada  kontraktor bukan  Melayu.
Baginya,  Utusan dan  golongan-golongan yang menyokongnya perlu sedar bahawa jika  mereka terus  membuat pembohongan dan menutup kebenaran, yang menjadi  mangsa adalah  orang Melayu sendiri.
"DAP  dan Pakatan Rakyat  menawarkan alternatif yang lebih baik bukan sahaja  kepada orang Melayu  tetapi juga semua kaum di negara ini, termasuk  usaha meningkatkan taraf  hidup golongan berpendapatan rendah serta  membebaskan media yang selama  ini dikongkong oleh Umno Barisan  Nasional," katanya yang juga Setiausaha  Biro Antarabangsa DAP  Kebangsaan.
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan