Listen2Quran

Isnin, September 28, 2009

Khairy Hadir Rumah Terbuka Nasharudin

Kunjungan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa di Bandar Mahkota

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin masih bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS berhubung apa jua perkara yang menyentuh kepentingan bersama-sama pergerakan muda kedua-dua parti itu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Rembau ini meminta "jangan ada apa-apa perasaan syak-wasangka antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno."

Beliau juga melahirkan harapan agar Pemuda PAS juga akan mempamerkan sikap terbuka dalam hal ini.

"Saya pun ada bincang sedikit tentang hala tuju bersama dengan (Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani, hari ini), bukan kita hendakkan hubungan yang formal.

"Tetapi sekiranya ditakdirkan ada peluang untuk kita sama-sama berjumpa dan berbincang dengan lebih tersusun lagi, saya terbuka kepada jalan tersebut.

"Dan, saya berharap Pemuda PAS pun tetap terbuka dan masih terbuka kepada idea tersebut," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dekat sini hari ini.

Khairy tiba di rumah Nasharudin kira-kira 3.30 petang. Azman Shapawi juga hadir sama pada majlis rumah terbuka itu.

Ini kali pertama Khairy menghadiri majlis rumah terbuka pemimpin kanan PAS.

Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Mac lalu.

Dewan Pemuda PAS juga menerima ketua yang baru Jun lalu iaitu Nasrudin Hassan Al-tantawi.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, beliau dan Timbalan Ketua Pemuda PAS tidak membincangakan apa-apa perkara yang serius hari ini.

"Saya pun telah menyampaikan salam saya kepada saudara Nasrudin. Tiada apa-apa agenda yang formal, yang perlu ditetapkan.

"Cuma hendak membina hubungan persaudaraan, mungkin melalui kunjungan seperti ini akan dapat kita melihat satu keserasian dalam hubungan kita antara PAS dan Umno.

"Saya rasa tiada masalah. Jangan kita terlalu baca dalam keadaan macam ini... biar hubungan itu terjadi secara semula jadi, jangan kita paksa," katanya.

Mengenai idea Dewan Pemuda PAS Jun lalu agar diadakan wacana ilmiah, Khairy berkata:

"Wacana itu sudah jadi isu yang lama, banyak komen sudah diberikan... sekejap jadi, sekejap tak jadi."

"Macam saya katakan tadi, biar hubungan ini jadi hubungan semula jadi.

"Jangan kita paksa. Jangan kita ada tumpuan media, jangan ada tumpuan wartawan. Yang ini akan merumitkan keadaan, bila kita ada terlalu banyak pihak, banyak orang, kita tidak akan melihat kejujuran daripada kedua-dua pihak," katanya.

Ketika ditanya mengenai kehadiran pada majlis rumah terbuka Nasharudin, Khairy memberitahu, "bagi saya ini bukan benda luar biasa sebab ini musim Hari Raya, perayaan Aidilfitri. Jadi bila dijemput untuk datang untuk ke rumah terbuka dan bila ada kelapangan dan masa, maka kita datanglah."

"Bagi saya tiada apa-apa yang luar biasa untuk datang ke sini. Saya pun dah kenal Ustaz Nasharudin dah lama dan kita sama-sama dalam Parlimen, jadi secara kebetulan pula saya tinggal di Putrajaya, tidak jauh dari sini, tiada masalah untuk datang," katanya.

Sumber dari: http://bloglistpolitik.blogspot.com/

Sabtu, September 19, 2009

PKFZ : Siapa musuh dalam selimut Najib??

Najib telah mengarahkan polis untuk menyiasat penyebaran dalam internet rahsia Kerajaan berhubung Skandal Rasuah dalam PKFZ yang melibatkan barisan 'key person @ orang terpenting' dalam barisan pentadbiran negara Malaysia akhirnya terdedah.

Satu persoalan yang timbul, jika dokumen kabinet itu tidak benar, mengapa Najib minta siasatan dijalankan? Sama ada dia sedar atau tidak, Najib telah membenarkan kesahihan dokumen berkenaan secara tidak langsung. Kalau tidak benar sudah pasti ada sidang akhbar menafikan kebenaran dokumen berkenaan.

Hanya satu cara untuk Najib membersihkan arang yang terconteng di muka iaitu dengan mewujudkan satu badan siasatan yang bersih serta neutral di mana anggotanya terdiri dari setiap wakil parti politik di Malaysia termasuk PAS/ DAP/ PKR harus ada wakil mereka dalam badan siasatan berkenaan. Barulah hasil siasatan itu tadi tidak di pertikaikan oleh rakyat.Tapi kenapa Najib tidak sanggup untuk menubuhkan Suruhanjaya sebegitu sebaliknya menubuhkan satu "Super Task Force" untuk menyiasat?

Satu lagi persoalaan yang timbul, siapa dan mengapa dokumen itu di dedahkan kepada media? Saya kurang yakin dokumen berkenaan disebarkan oleh pembangkang kerana dokumen berkenaan berada dalam lingkungan 'orang penting dan dalam pentadbiran’ Kerajaan sahaja. Jadi memanglah ada di antara 'orang kuat' ini yang berkemungkinan tidak senang dengan Najib atau Muhyiddin bertindak membocorkan dokumen berkenaan kepengetahuan umum menerusi media.

Siapa orang itu? siapakah yang menjadi gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut dalam barisan Menteri-Menteri orang kanan Najib sendiri kerana rakyat sudah maklum ini pastinya bukan kerja Pakatan Rakyat sebab tidak ada seorang pun YB dari Pakatan Rakyat yang duduk dalam barisan kabinet pada hari ini. Definately NOT !

Saya teringat satu pepatah lama, 'bangkai walau bagaimana disorok, akan terbau juga busuknya'. Begitu juga dengan kes ini, penipuan terhadap rakyat amatlah tidak diredhai oleh Allah swt. Maka sebab itulah terbuka hati salah seorang kuncu kabinet untuk mendedahkan kemungkaran yang telah mereka lakukan ke pengetahuan rakyat.

Buatlah sesuatu sekiranya BN/UMNO tidak mahu lagi kehilangan kepercayaan rakyat terhadap mereka. Sedarlah 'faith' rakyat terhadap UMNO/BN makin hari makin pudar dan akan terus pudar oleh kerana kemungkaran yang mereka lakukan makin hari makin terdedah.