KUALA LUMPUR 10 JUN : Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin  berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang  pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara  berkebajikan.
 Sehubungan itu kata Asri, Umno sebagai parti  teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya  mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai  konservatif dan fanatik.
 Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya.  Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang  golongan profesional ada, mereka masih hentam.
 Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia  (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini  sikap yang tidak betul, kata beliau kepada The Malaysian Insider.
 Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya  perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu  bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih  terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan  bukannya mengkritik PAS, kata beliau.
 Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.
  Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa  Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.
  Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya  memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan  dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan  menghapuskan riba dan menutup kelab malam.
  Justeru kata Menteri Besar Kelantan  itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan  keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan  penularan gejala negatif sosial.
  Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.
  Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.
  Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula  memperlihatkan kemajuan memberangsangkan memandangkan ia sanggup  mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma  ditekankan ialah negara berkebajikan.
  Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu  dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan  daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.
  Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam  memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan,  namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih  luas dan fleksibel kepada PAS.
  Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar  Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk  parti itu meninggalkan usaha membentuk negara Islam, isu yang disifatkan  sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.
  Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan  gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan  Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya  menumpukan jenama negara Islam itu semata-mata.
  Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk  negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama  saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara  berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia  sebut negara berkebajikan.
  Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama  kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang  dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum  arak sama, katanya.
  Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata,  pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa keadaan sudah terbalik  memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan  dan menunjukkan sikap keterbukaan.
  PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam  tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS...  dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang  sudah terbalik keadaan, kata Asri lagi.
  Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang.  Saya pun tidak tahu apa yang Umno buat, saya rasa Umno sudah silap  perhitungan, katanya lagi.
  Nik Aziz : Negara Kebajikan Selari Dengan Islam
 KOTA BAHARU 10 JUN :  Konsep negara berkebajikan  dibawa pakatan pembangkang adalah selari dengan kehendak Islam, kata  Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
 Menteri Besar Kelantan itu berkata konsep  berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material  sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan  kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.
 Menurutnya kedua-dua perkara itu membawa  kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima  masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial. 
 Berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat, katanya. 
 "Islam ini dasar manakala berkebajikan adalah  program Islam. Kebajikan bukan beri barang," katanya kepada pemberita di  kediaman rasmi Menteri Besar di sini, semalam.
 Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak  kononnya PAS sanggup meninggalkan perjuangan asal parti untuk memenangi  pilihan raya umum dan tindakan itu menurut mereka, menyebabkan sokongan  terhadap PAS merosot.     
 Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi  Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu minggu lalu langsung tidak  menyentuh mengenai penubuhan negara Islam dan pembentukan undang-undang  hudud seperti mana sebelumnya.       
 Sebaliknya ahli parlimen Marang itu menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan