AMPANGAN, 21 Feb - Umno yang dilihat berada dalam  keadaan terdesak berusaha menutup semua kepincangan mereka dengan mengalihkan  perhatian rakyat kepada fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertikai  sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, serangan ke atas gereja dan rumah  ibadat serta isu kepala lembu.
 
  Umno  dan Barisan Nasional mahu melenyapkan skandal ciptaan mereka seperti PKFZ,  kehilangan enjin jet F-5E, rasuah kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi  serta pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
  "Umno sudah menjadi pengemis  politik dan terdesak dengan membuat pelbagai dakwaan kepada Pakatan Rakyat bagi  menutup kesalahan yang dilakukannya.
  "Serangan yang dilakukan oleh Umno  terhadap pemimpin Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang mengatakan orang Melayu  dihimpit dan dihalau oleh peminpin DAP adalah fitnah semata-mata. Apakah yang  Umno telah buat sepanjang pemerintah mereka sebelum ini, adakah Melayu sebelum  ini dibela," kata bekas Pengerusi Gerak Rakyat Intergriti dan Anti Korupsi  (GERAK) Mohd Nazree Mohd Yunus pada Ceramah Penerangan Konspirasi II anjuran  Angkatan Muda KEADILAN di Ampangan Jumaat lalu.
  Beliau berkata Umno kini  menggunakan isu perkauman untuk meraih simpati orang Melayu yang sudah hilang  keyakinan kepada Umno dan BN.
  Turut berucap pada majlis itu termasuk  Exco Dewan Pemuda Pas Pusat Mohd Sany Hamzan yang mengatakan Umno sentiasa  mengamalkan budaya rasuah walaupun bercakap hendak menghapuskan gejala  itu.
  "Lihat saja rasuah seorang setiausaha politik kepada menteri yang  mana wang tunai sebanyak RM2 juta ditemui dirumah beliau.
  "Ini  mengesahkan amalan rasuah yang diamalkan oleh Umno, ini lah kerja Umno yang  sentiasa mahukan poket mereka sentiasa penuh tanpa fikir itu adalah hak  rakyat.
  "Kalau setiausaha politik yang baru bekerja satu tahun sudah ada  RM2juta cuba fikir menteri yang dah lama bekerja berapa duit yang dia ada.  Takkan setiausaha lebih kaya dari menteri?
  "Pakatan Rakyat mendesak  Menteri terbabit Tan Sri Nor Mohamed Yakcop juga disiasat oleh SPRM dan polis  jangan lepas menteri terbabit kerana secara logik dia juga bersalah," tegas Mohd  Sany.
  Beliau juga mencabar Perdana Menteri Najib Razak dan anggota  Kabinet membuat pendedahan harta yang diperolehi selama mereka  berkhidmat.
  "Saya cabar Najib untuk buat tafsiran harta dan tanggungannya  kerana rakyat berhak tahu apa yang dimiliki oleh Najib. Kenapa Najib nak takut  jika dia betul dan tidak mengamalkan rasuah?," tanya beliau.
  Ceramah itu  turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat Aminuddin Harun, ADUN Lobak  DAP Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar  Mohd Akin.
  "Saya dulu bekas Umno, sepanjang bersama Umno saya tahu  perjuangan Umno yang sebenarnya. Umno tidak jujur dalam perjuangan mereka  tentang kepentingan Melayu ataupun rakyat.
  "Pejuangan Umno hanyalah  untuk kepentingan kekayaan mereka sendiri bukan untuk membela rakyat," tegas  Aminuddin.
  Anthony Loke pula berkata laporan yang dikeluarkan oleh media  arus perdana berhubung perbicaraan Datuk Seri Anwar adalah "double standard" dan  bersikap melebihi mahkamah dengan mengada-adakan cerita.
  "Selain itu  juga banyak persoalan yang kenyataan oleh Saiful semasa kejadian di kondominium  tersebut perlu dijawab sebelum pendakwaan dibuat.
  "Kenapa semasa kejadian  tersebut Saiful tidak lari kalau dia takut, apakah pemuda 26 tahun tidak boleh  lawan orang dewasa berusia 60 tahun. Ini satu kenyataan yang tidak masuk akal  dan nampak sangat Saiful menipu."
  "Kita menunggu jawapan dari Saiful  kenapa dia tidak lari kerana jika dia ingin melarikan diri Anwar tentu tidak  dapat lawan kerana faktor umur dan siapa pula yang hendak halang beliau sebab  hanya dia berdua dengan Anwar semasa kejadian. Kalau wanita ingin di rogol pun  dia melawan dan melarikan diri inikan pula Saiful seorang lelaki.
  "Tak  masuk akal, persoalan tuduhan ini adalah dakwaan yang palsu untuk menhancurkan  karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenapa selama enam tahun (selepas  dibebaskan) tiada dakwaan tetapi setelah kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam  pilihan raya lepas timbul pula dakwaan. Ini lah kerja politik kotor Umno yang  semakin takut dengan kemaraan Pakatan Rakyat," tegas Anthony Loke dihadapan  2,000 penyokong.
  Shamsul Iskandar dalam ucapan beliau menyelar Najib dan  isterinya, Rosmah Mansor yang dakwa peguambela Karpal Singh sebagai tangan ghaib  yang bertindak masuk campur dalam perbicaraan Anwar.
  "Ini dakwaan yang  amat serius. Adakah Najib dan Rosmah berani menafikan bahawa mereka tidak  terbabit dalam konspirasi terhadap Anwar? Sebab itu dari awal kita katakan  tuduhan terhadap Anwar hanya konspirasi politik yang dicipta oleh Umno untuk  menyekat kemaraan beliau," tegas Shamsul lagi. - SK
  Sumber dari:  http://lagiberita.blogspot.com/
  | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan